10.16.2009

Khalishah Abirah

“Subhanallah, anak puan anak yang solehah! Bertuah puan dapat anak macam Khalishah,” puji Puan Latifah kepada Puan Saidah. Puan Latifah telah mengasuh anak Puan Saidah sejak anaknya masih kecil lagi. Kanak-kanak berusia 6 tahun itu yang baik akhlaknya menyebabkan Puan Latifah berasa begitu senang hati. Itulah kisah Khalishah Abirah kira-kira 15 tahun yang lalu. Hasil pentarbiyyahan ummi dan walidnya telah berjaya mentakwinkan Khalishah Abirah untuk menjadi seorang muslimah seindah namanya iaitu kemurnian yang wangi. Sifat-sifat mahmudah yang telah menghiasi peribadi Puan Saidah seolah-olah sedang diwarisi oleh Khalishah Abirah yang sedang meningkat dewasa. Qudwah hasanah yang selalu ditunjukkan oleh Puan Saidah menyebabkan Khalishah Abirah sangat mengagumi kewibawaan umminya sebagai seorang wanita bekerjaya dan ibu yang solehah pada masa yang sama.

Kini, Khalishah Abirah merupakan seorang mahasiswi. Walaupun Khalishah Abirah tinggal berjauhan dengan keluarga, namun dia pandai menjaga diri. Setiap pagi, Khalishah Abirah akan memastikan dirinya mandi terlebih dahulu sebelum mengerjakan qiamullail dan menunaikan solat subuh secara berjemaah di surau kolej kediamannya. Khalishah Abirah yakin bahawa Islam dibina atas kebersihan. Allah SWT telah berfirman, “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah, lalu berilah peringatan! Dan Tuhanmu agungkanlah! Dan pakaianmu bersihkanlah! Dan segala yang keji tinggalkanlah,” (Al-Muddathir: 1-5). Khalishah Abirah tidak pernah membiarkan biliknya dalam keadaan yang tidak terurus. Katilnya sentiasa dikemaskan. Buku-buku di atas meja disusun dengan teratur serta pakaiannya digantung serta dilipat satu persatu. Khalishah Abirah berbeza daripada rakan-rakannya yang lain. Khalishah ingat akan pesanan umminya bahawa, “Sikap suka bertangguh adalah pencuri masa.” Lagipun, bagi Khalishah Abirah sikap tersebut tidak melambangkan keperibadian seorang muslim yang sebenar. Sabda Rasulullah SAW, “Kesucian merupakan sebahagian daripada iman,” (Hadis Riwayat Muslim). Menjaga kebersihan pakaian merupakan sebahagian daripada iman, lalu bagaimana pula tentang mereka yang melonggokkan pakaian berhari-hari untuk dibasuh kemudiannya? Adakah mereka sempat berfikir bahawa sikap tersebut akan melenyapkan sebahagian daripada iman mereka?

Selain sibuk menunaikan tanggungjawab di medan ilmu, Khalishah Abirah tidak ketinggalan untuk menyertai Harakah Islamiyyah di kampus. Khalishah Abirah yakin bahawa tugasnya dalam menuntut ilmu dan akhirnya berijazah bukanlah alasan baginya untuk meninggalkan jamaah yang sememangnya sunnah Rasul Junjungan yang mulia. “Wah, Khalishah! Kenapa rajin ni?”, usik Hafiyyah tatkala dia sedang menyapu lantai di makmal. “Takdelah, biasa je. Kalau tak sapu lantai, tak tau pula nak buat apa,” kata Khalishah Abirah merendah diri. “Bagus, macam makcik tu kan?” tambah Raihanah. “Astaghfirullahal‘azim…”, bisik hati kecil Khalishah Abirah tatkala mendengar ucapan itu. Namun, Khalishah Abirah tetap tersenyum manis kepada kedua-dua sahibahnya. Mungkin mereka tidak sedar akan kata-katanya itu walaupun mereka sebenarnya berada dalam satu jamaah. Walau apapun, Rasulullah SAW pernah bersabda dan mengingatkan umatnya bahawa, “Iman itu terdiri atas lebih 70 cabang. Yang paling tinggi adalah mengucapkan Lailahaillallah dan yang paling rendah ialah menyingkirkan gangguan dari jalan,” (Hadis Riwayat Bukhari). Khalishah Abirah sangat mengambil iktibar daripada peringatan Rasulullah SAW tersebut lalu berusaha mentajdidkannya di dalam diri. Kebaikan yang kecil tidak seharusnya dipandang remeh malah kerja-kerja pembersihan merupakan suatu ibadah yang mulia di sisi Allah SWT. Ya Allah, betapa mulianya pekerja-pekerja yang menjalankan kerja-kerja pembersihan! Saban waktu mereka memastikan kebersihan dan selama itulah mereka sebenarnya memperbaharui dan meningkatkan iman! Allahuakbar! Bukankah Allah itu cantik dan suka akan kecantikan dan keindahan? Ustaz KH. Abdullah Gymnastiar menyarankan formula 3M untuk seseorang itu berubah dan melakukan pengislahan diri. Mulakan dengan diri sendiri, mulakan dengan perkara yang kecil dan mulakan pada saat sekarang. Dengan itu, perkara yang dianggap kecil sebelum ini sudah tentu akan menjadi suatu perkara yang besar jika kita benar-benar ingin membawa agama Allah di muka bumi!

Sejak kecil lagi, walid Khalishah Abirah yang merupakan seorang mudir di salah sebuah sekolah agama rakyat, Ustaz Ahmad Taqiyuddin Salleh sentiasa menasihati Khalishah Abirah tentang bahayanya mulut. Disebabkan mulutlah, banyak perselisihan dan pergaduhan terjadi. Oleh itu, Khalishah Abirah sentiasa berhati-hati ketika bermuamalah dengan sahabat dan sahabiahnya. Khalishah Abirah berusaha agar menjadikan diamnya adalah berfikir dan kata-katanya pula adalah berzikir kepada Allah SWT. Hadis yang diriwayatkan oleh Baihaqi ada menyebutkan “Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya dan sesiapa yang banyak dosanya, api nerakalah yang paling layak untuk dirinya.” “Mengapa Khalishah nampak lain je hari ini?”, tegur Hafiyyah setelah lama tidak berjumpa dengan Khalishah Abirah sejak cuti semester baru-baru ini. “Ye lah, Khalishah nampak macam berisi sikit,” tambah Raihanah. “Ye ke? Alhamdulillah ana sihat je,” balas Khalishah Abirah penuh hikmah. Mutiara kata oleh Professor Dr. Hamka sentiasa diingati oleh Khalishah Abirah bahawa, “Perbuatan baik yang dibalas baik ialah biasa. Perbuatan jahat yang dibalas jahat ialah biasa tetapi perbuatan jahat yang dibalas baik ialah luar biasa. Itulah budiman.” Rentetan itulah, Khalishah Abirah tidak pernah membalas perkataan jelek yang dihemburkan kepadanya. “Ya Allah, berikanlah mereka hidayah-Mu,” doa Khalishah Abirah setiap kali diuji dengan makhluk-Nya. Sepatutnya setiap orang muslim harus menyedari akan hakikat mulut yang dianugerahkan oleh Allah disebabkan mulut boleh menjadi penyebab bahagia atau sengsaranya seseorang di hari pembalasan kelak sebagaimana doa Rasulullah SAW, “Aku memohon syurga kepada-Mu dan apa yang dapat mendekatkanku ke sana berupa perkataan atau perbuatan dan aku berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang dapat mendekatkanku ke sana berupa perkataan atau perbuatan…” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, Ahmad dan Ibnu Hibban).

“Assalamu’alaikum” ucap seorang muslimah. “Wa’alaikumussalam,” jawab ringkas salah seorang muslimah lain yang duduk berhampiran lalu meneruskan perbualan bersama sahabiahnya. Muslimah yang datang keseorangan itu lalu mengambil tempat bersebelahan dengan jamaah muslimat yang sedang rancak berbual itu dengan harapan agar mereka dapat saling berta’aruf dan berukhwah. Malangnya, sekumpulan jamaah muslimat itu tidak menghiraukannya. Begitulah detik awal yang dilalui oleh Khalishah Abirah sebelum memasuki jamaah. Apa yang Khalishah Abirah alami sebelum ini merupakan tarbiyyah hati oleh Allah SWT agar Khalishah Abirah tidak melakukan perbuatan yang sama terhadap orang lain. Sebetulnya, mereka yang mempunyai fikrah harus berakhlak mulia dan berkawan dengan semua lapisan masyarakat. Andaikata jamaah hanya selesa berada dalam kelompok mereka sahaja, maka bagaimana dakwah Islamiyyah hendak berkembang? Bagaimana pula dengan nasib para mad’u yang terdiri daripada kalangan orang-orang awam? Apakah harus dibiarkan saja sedangkan merekalah golongan majoriti dalam negara kita?

Khalishah Abirah sangat menginsafi tujuan Allah menciptakannya dan memberi kesempatan terhadap dirinya untuk dihidupkan buat tempoh yang sedetik cuma ini. Kewajipan untuk menegakkan kalimah Allah di menara ilmu adalah suatu misi yang harus disempurnakan. Kesediaan untuk ditarbiyyah dan mentarbiyyahkan sentiasa ada dalam hati kecilnya yang paling dalam. Khalishah Abirah selesa untuk bekerja dengan sesiapa sahaja dalam jamaah dan tidak bertakalluf dalam menetapkan sesuatu perkara kerana "Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah". (Hadis Riwayat Imam Ahmad). Para pendakwah yang menyebarkan risalah dakwah sebenarnya menyeru manusia seluruhnya supaya mengabdikan diri kepada Allah semata-mata dan tidak sepatutnya melupakan diri sendiri tatkala sibuk berdakwah kepada orang lain!

Benarlah bahawasanya muslimah cerdik yang solehah boleh berdakwah dengan menjadi dirinya sendiri. Khalishah Abirah semakin disenangi oleh rakan-rakannya. Kejayaan dakwah Khalishah Abirah yang luar biasa dan berjaya menarik lebih ramai warga kampus untuk menghayati, mengamalkan dan terlibat secara aktif dalam gerakan Islam telah menginsafkan Hafiyyah dan Raihanah. Mereka mengakui kekhilafan mereka selama ini terhadap Khalishah Abirah. Sikap berburuk sangka sesama muslim bukanlah sifat yang sewajarnya untuk menghiasi jalan dakwah yang sememangnya penuh liku dan cabaran. Hanya dengan kembali kepada Allah wa Rasul-Nya sahaja yang akan menjamin kejayaan serta kebahagiaan hakiki seseorang, “Allah memilih orang yang Dia kehendaki kepada agama tauhid dan memberi petunjuk kepada (agama)-Nya bagi orang yang kembali kepada-Nya,” (Asy-Syura: 13).

10.02.2009

Keberanian Imam Nawawi Menegakkan Haq (kebenaran)

Imam Nawawi bukan dari golongan ulama' yang mencari keuntungan dari ilmu yang dimiliki. Beliau memimpin ummah, bukan ummah memimpin beliau.

Tugasnya sebagai seorang ulama' bukan hanya medannya dalam majlis pengajarannya sahaja, malah meliputi seluruh masyarakat. Justeru itu, beliau sering menulis surat kepada baginda Sultan Al-Malik Al-Zahir menasihatkannya dalam urusana agama. Akan tetapi nasihatnya yang ikhlas itu tidak diambil perhatian oleh baginda.

Diriwayatkan Sultan Al-Malik Al-Zahri meminta fatwa dari kalangan ulama'yang ada pada ketika itu untuk mengeluarkan fatwa bahawa harus mengambil harta rayat untuk menghadapi peperangan. Apabila ada ulama' yang tidak membenarkan mengambil harta rakyat, maka beliau akan membunuhnya serta-merta. Kemudian beliau bertanya adakah lagi ulama' yg belum aku bertanya? Pengawal-pengawalnya menjawab terdapat seorang lagi ulama' yang bernama al-Syeikh Muhyiddin Al-Nawawi. Lalu beliau memerintahkan supaya dapatkan segera fatwa daripadanya. Imam Nawawi mengeluarkan fatwa, harus mengambil harta dari rakyat setelah semua harta Sultan iaitu 1000 orang hamba dengan semua ketul-ketul emas dibelanjakan terlebih dahulu untuk berperang. Setelah itu barulah dibolehkan mengambil harta dari rakyat.

Fatwa Imam Nawawi tersebut menyebabkan sultan murka kepadanya dan memerintahkan Imam Nawawi diusir keluar dari Kota Damsyiq. Tindakan sultan itu deterima dengan tenang dan beliau pulang ke Nawa tempat asalnya.

Tindakan sultan hanya mengusir Imam Nawawi dengan tidak membunuhnya menimbulkan kehairanan di kalangan rakyat pada ketika itu. Lalu ditanya kepada baginda sultan. Beliau menjawab aku tidak membunuh Imam Nawawi adalah kerana setiap kali aku hendak menjatuhkan hukuman bunuh ke atasnya, aku melihat dua ekor singa ganas di atas bahunya yang hendak menerkam kepadaku.

Peristiwa ini memberikan satu iktibar kepada kita bahawa, keberanian seseorang ulama' yang tidak mengejar pangkat dan sebarang ganjaran dunia dan berkata benar adalah sifat terpuji dan akan sentiasa dipelihara oleh Allah S.W.T..

-nizar, qoute from Imam Nawawi Permata dari Kota Damsyiq..