11.07.2009

Solat & Yoga

Terdapat golongan mengatakan solat adalah yoga. Solat sebenarnya bukanlah senaman ataupun yoga malah bagi semua orang Islam, Solat lebih agung daripada sebarang senaman. Solat adalah zikir yang paling mulia, Allah telah berfirman dalam Surah Al-Ankabut, ayat 45 "Dan zikrullah (solat) adalah lebih besar keutamaannya".

Yoga mempunyai kedudukan tertentu yang dikenali asanas. Seseorang akan duduk pada kedudukan tertentu bagi jangka masa tertentu dengan melafazkan kalimat-kalimat mantra tertentu di samping bernafas secara teratur. Salah satu kedudukan yang penting dikenali sebagai Sirshasana (headstand). Seseorang pengamal yoga akan meletakkan kepalanya dan di peringkat kemuncaknya meluruskan badan supaya kakinya berada di atas. Malangnya kedudukan ini tidak dapat dilakukan oleh semua orang.

Sekiranya dilihat secara menyaluruh, memang terdapat beberapa unsur yoga dalam solat. Solat mempunyai kedudukan serta gerak badan tertentu (Rukun Fi'li). Solat juga mementingkan gerak hati yang ikhlas kerana Allah (Rukun Qalbi). Selain itu, solat juga mempunyai kalimat-kalimat tertentu yang perlu dilafazkan (Rukun Qauli dan zikir). Antara kedudukan penting dalam solat ialah sujud. Di kedudukan ini seseorang meletakkan kepalanya ke bumi dan di kedudukan ini darah dari jantung turun ke otak dengan mudah. Berbeza dengan Sirshasana, sujud dapat dilakukan oleh semua orang.

Namun solat adalah lebih daripada yoga kerana ia adalah ibadah yang berdasarkan wahyu. Solat adalah aktiviti penyembahan kepada Yang Maha Pencipta. Seseorang yang hendaklah membersihkan jiwanya dari kesyirikan sebelum bersolat bagi mengEsakan Allah. Di samping itu, pembersihan jasad denagn berwuduk adlah diwajibkan. Pemakaian seseorang juga perlu menjurus kepada pengabdian dengan menutup aurat. Solat disyariatkan secara berjemaah malah berjemaah juga adalah wajib bagi solat-solat tertentu.

Kesemua tuntutan ini tidak wujud pada yoga. Jika dibandingkan dengan yoga, solat adalah lebih lengkap dan komprehensif dan kesan jangka panjangnya adalah lebih mendalam.

Wassalam...
*Dipetik dari buku : Quran Saintik oleh Dr. Danial Zainal Abidin*

Farhan

No comments:

Post a Comment